Peringkat ketiga Adat resam kahwin Melayu

Bersanding

Rencana utama: Bersanding

Mandi limau

Sebelum istiadat mandi limau dijalankan, terdapat satu adat yang amat penting pada zaman silam. Pada awal pagi selepas malam bersatu, emak pengantin akan menanyakan bukti yang konkrit daripada pengantin lelaki tentang keperawanan pengantin perempuannya. Mengikut adat, pengantin lelaki akan menyerahkan sehelai sapu tangan berwarna putih yang memberikan bukti yang diperlukan. Emak pengantin kemudian akan menunjukkan sapu tangan itu mula-mulanya kepada ibu bapa pengantin perempuan dan kemudian yang paling penting sekali kepada ibu bapa pengantin lelaki. Pada zaman silam, bukti tentang keperawanan pengantin perempuan adalah amat penting kepada orang Islam umumnya. Penyerahan bukti sebelum istidat mandi limau adalah wajib dan amat penting sehingga ketiadaan bukti hampir selalu menimbulkan masalah yang seringnya mengakibatkan perceraian serta-merta.

Selepas kedua-dua pasangan ibu bapa pengantin lelaki dan pengantin perempuan telah memuaskan diri tentang kesucian pengantin perempuan, istiadat mandi limau akan dijalankan. Kedua-dua suami isteri sekali lagi berduduk di atas pelamin dalam pakaian yang terbaik di hadapan sekumpulan tetamu yang terdiri daripada saudara, jiran, dan kawan rapat kedua-dua keluarga. Untuk istiadat ini, mereka tidak berpakaian pengantin tetapi memakai pakaian Melayu yang biasa. Selepas berduduk selama sepuluh hingga lima belas minit, mereka akan di bawa turun dan didudukkan pada sebuah bangku atau dua buah kerusi di ibu rumah atau bilik yang lain di rumah. Mandi istiadat dilakukan oleh emak pengantin, dan terdiri daripada memercikkan air sintuk dan limau purut pada kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.

Selepas upacara ini disiapkan, pengantin lelaki akan membawa pengantin perempuan balik ke bilik tidur dengan setiap mereka memegang salah satu hujung sapu tangan. Sarung yang digunakan oleh kedua-dua suami isteri dalam istiadat mandi diberikan kepada emak pengantin, bukan sahaja sebagai hadiah tetapi juga sebagai tolak bala dan buang geruh. Kedua-dua pengantin tidak dibenarkan memerah air dari sarung tersebut, apa lagi dengan menyimpannya.

Seluruh adat ini yang dipegang teguh pada zaman silam kini tidak lagi diamalkan sama sekali oleh hampir semua (jika bukan semua) orang Melayu.

Sambut-menyambut

Pada hari istiadat mandi, sebuah kenduri akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Semasa ini, suami dan ibu bapa mertua akan membawanya membuat kunjungan pertama ke rumah mereka. Di rumah suaminya, mereka akan menjalankan istiadat bersanding sekali lagi, jika ibu bapa mertuanya merupakan orang berada. Lagi sebuah kenduri yang terdiri daripada beratus-ratus tetamu akan diadakan. Kekadangnya, hiburan sepanjang siang dan malam yang terdiri daripada muzik dan tarian tempatan akan diadakan untuk menghibur isteri yang baru ini. Istiadat yang diadakan di rumah pengantin lelaki kekadang lebih besar daripada istiadat bersanding di rumah pengantin perempuan, tetapi kenduri-kenduri perkahwinan yang diadakan di rumah pengantin perempuan biasanya adalah lebih banyak dan lebih mewah daripada kenduri-kenduri yang diadakan di rumah pengantin lelaki.

Selepas tinggal di rumah suaminya selama beberapa hari, isteri baru itu yang diiringi oleh suami dan ibu bapa mertuanya akan kembali ke rumah perempuan untuk mendiami sekurang-kurangnya beberapa bulan. Pada kepulangannya ini, sebuah kenduri yang kecil akan diadakan.

Inilah dia huraian secara ringkas tentang adat resam kahwin Melayu.